‘Potong macam ais krim’

on 16 Februari 2014

Chicago: Dua bekas pegawai polis merancang menculik dan menyeksa seorang ahli perniagaan termasuk memotong kemaluannya ‘seperti ais krim’ dalam usaha memeras wang daripada mangsa.
Rakaman video FBI menunjukkan Steven Mandell, 62, di dalam sebuah bilik yang didakwa dibina khas untuk tujuan itu bersama rakannya Gary Engel. 
Dalam rakaman itu yang ditayangkan di mahkamah, mereka menceritakan kepada ejen hartanah George Michael butiran perancangan memeras wang daripada Steve Campbell, ahli perniagaan yang meraih keuntungan daripada sewaan pelbagai hartanah miliknya.
Bilik itu dilengkapi peralatan khas untuk memudahkan mangsa dikelar dan anggota badan dipotong selepas dibunuh selain sinki besar untuk mengeringkan darah daripada mayat mangsa sebelum dibuang. 
Rakaman video itu diperoleh melalui Michael yang juga saksi utama kes perbicaraan terhadap Mandell. Engel membunuh diri dalam tahanan pada 2012. 
Mahkamah diberitahu Mandell dan Engel bercadang menculik serta menyeksa mangsa, Steve Campbell - yang meraih kekayaan daripada pelbagai hartanah dimilikinya - dan memaksanya menyerahkan sejumlah wang serta hartanah.
Mereka bercadang menyamar sebagai polis menggunakan dokumen palsu untuk ‘menahan’ mangsa sebelum melarikannya ke bilik penyeksaan itu. 
“Rakan saya (Engel) memang pakar dalam hal soal siasat dan memaksa orang memberi apa dikehendakinya,” kata Mandell kepada Michael dalam rakaman itu.
Mandell juga didengar berkata, mereka bercadang meminta sekurang-kurangnya AS$500,000 (RM1.7 juta) daripada Campbell. 
Mereka turut merancang menyeksa mangsa sehingga mati termasuk memotong kemaluannya seperti ais krim ‘banana split’ sebelum mengeringkan darah dan mengerat badannya untuk menghapuskan bahan bukti. 
Malah, dalam rakaman itu, Engel menceritakan kepada Michael bagaimana dia bercadang menyeksa Campbell - yang digelar ‘Soupy’ disebabkan jenama sup dengan nama sama - sehingga mendapat apa dimahukannya. 
Michael kemudian didengar bertanya bagaimana Mandell begitu yakin boleh berjaya mendapat apa dikehendakinya daripada ‘Soupy’ sebelum Mandell didengar menjawab: “Dia pasti mendedahkan segalanya” sambil membuat aksi seseorang menjerit ketakutan. 
Bagaimanapun, perancangan mereka itu sempat dihentikan apabila saksi terbabit bekerja sama dengan FBI. 
Ketika ditangkap, FBI menemui pelbagai dokumen palsu selain peralatan penyeksaan seperti pisau, senjata api dan gergaji. 
Mandell menghadapi dua tuduhan, termasuk satu membabitkan perancangan membunuh seorang pemilik kelab erotik dengan perancangan mahu mengambil alih perniagaan berkenaan. 
Mandell dan Engel masing-masing dipecat dari polis pada 1980-an kerana sering melakukan peras ugut. 
Mereka juga pernah ditahan pada 1984 apabila didakwa merancang penculikan dan seorang pemilik kelab malam untuk memeras wang daripadanya. 
Bagi kes itu, Engel dipenjara 90 tahun pada 1991 manakala Mandell dijatuhi hukuman mati - anggota polis pertama mendapat hukuman sedemikian. 
Bagaimanapun, mereka dibebaskan selepas merayu keputusan itu. - Agensi
sumber : mymetro

Tak kisah anak lelaki pakai gaun

London: Sepasang suami isteri memilih membesarkan anak lelaki mereka secara neutral iaitu sebagai budak lelaki dan perempuan untuk mengelaknya daripada menjadi agresif ketika dewasa.
Lisa, 23, dan Martin Price, 34, tidak menghalang sekiranya anak mereka Max, setahun, mahu memakai tutu dan kepak pari-pari berikutan menggunakan kaedah radikal dikenali sebagai ‘keibubapaan neutral’ yang dipercayai mampu meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak.

Max diberi kebebasan memilih apa yang mahu dipakainya setiap hari sama ada seluar jeans dan kemeja lelaki atau gaun perempuan berwarna merah jambu.
Malah, permainannya juga terdiri daripada pelbagai kereta serta robot mainan dan anak patung yang biasanya menjadi peneman kanak-kanak perempuan.

Lisa dan Martin menganggap cara mereka membolehkan Max lebih mengenali dirinya tanpa rasa tersekat dengan batasan jantina.

“Saya mahu dia berfikir di luar kotak. Asalkan tidak membahayakan dirinya secara fizikal saya tidak akan menghalangnya daripada berpakaian atau main mengikut kehendaknya.
Foto
MARTIN (kiri) dan Lisa membesarkan Max secara ‘neutral’ malah membiarkannya memakai gaun dan bermain anak patung.
“Memang ramai yang pelik dengan kaedah ini, namun apabila mendengar penjelasan saya mereka menganggapnya sesuatu yang baru malah menyokongnya,” kata Lisa.

Lisa suri rumah sepenuh masa juga bercadang mendidik anaknya di rumah tanpa perlu dihantar ke sekolah apabila tiba masanya.
“Saya berharap Max tidak menjadi mangsa buli atau ejekan kelak, namun yang penting kami mahu dia membina keyakinan diri daripada usia sekecil ini,” katanya.

Dia menegaskan, tanggapan stereotaip mengenai jantina dan peranan kejantinaan menjadi punca masalah wanita ditindas lelaki yang menganggap mereka berkuasa.

Pendekatannya disokong suaminya yang mengakui dibiarkan main anak patung kakaknya ketika membesar. - Agensi
sumber : mymetro

Samun ketika takbir

Machang: Sungguh kurang ajar apabila seorang penjenayah memeras ugut seorang suri rumah meminta supaya menyerahkan beg tangan dan barang kemas sehingga mangsa kerugian kira-kira RM28,000 dengan mengacukan pisau lipat dan menyumpah seranah ketika jemaah mengangkat takbiruntuk menunaikan solat Jumaat berhampiran Masjid Peringat, Melor, Kota Bharu, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.55 tengah hari itu, mangsa, Nor Aini Mohd Nor, 58, yang duduk di tempat duduk penumpang sebelah depan sedang menunggu suaminya, Abdul Rahman Abdullah, 58, menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Kereta diparkir di luar masjid dalam jarak kira-kira 100 meter dan tiba-tiba muncul seorang lelaki yang tidak dikenali berbaju Melayu serta meletakkan kain pelekat di kepala di tepi kereta dan dalam keadaan cermin tingkap kereta terbuka sepenuhnya, dia mengacukan pisau lipat sambil menyumpah seranah meminta mangsa menyerahkan barang kemas dipakai dan beg tangan yang diletakkan di kaki.

Menurut Nor Aini, dia tidak menyangka sebuah kereta jenis Wira Aeroback yang tiba-tiba di parkir di belakang keretanya adalah kereta penjenayah.
Foto
NOR AINI melakonkan semula kejadian.

“Saya membuka cermin tingkap kereta kerana mahu mendengar khutbah dan berdoa. Tiba-tiba sebuah kereta di parkir di belakang kereta saya dan ketika jemaah mengangkat takbir untuk solat Jumaat muncul seorang lelaki tidak dikenali di tepi kereta mengacukan pisau lipat, malah menyumpah seranah dan meminta saya menyerahkan barang kemas dan beg tangan saya.
sumber : mymetro

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved