Gagal perbaharui pasport kerana nama

on 03 Februari 2014

London: Permohonan lelaki yang paling banyak mempunyai tatu di Britain untuk memperbaharui pasportnya ditolak disebabkan namanya yang luar biasa.
Mathew Whelan menukar namanya dua kali pada 2007 dan 2009. Kini dia menamakan dirinya “King of Ink Land King Body Art The Extreme Ink-Ite’.

Nama pelik itu tercatat pada lesen memandunya. Apabila dia memohon untuk memperbaharui pasportnya selepas membuat bayaran £72.50 (RM398), permohonannya ditolak. Whelan, 34, yang dikenali sebagai “Body Art” membelanjakan £25,000 (RM137,475) untuk menutupi 90 peratus badannya dengan tatu, termasuk mata putihnya.
Dia juga bercadang untuk membuat perjalanan ke luar negara kerana ditawarkan pekerjaan melakukan pengubahsuaian tubuh bersama MOD World International. “Saya membuat permohonan untuk memperbaharui pasport kerana sudah tamat tempoh. Saya kemudian menerima panggilan daripada pegawai di jabatan pasport dan mereka kata ada masalah.

“Mereka berkata, permohonan saya ditolak oleh bahagian dasar jabatan berkenaan,” katanya.
sumber : mymetro

Potong kemaluan kekasih kerana bimbang

Shanghai: Seorang wanita di daerah Minhang di sini Khamis lalu memotong kemaluan teman lelakinya kerana mengesyaki dia akan memutuskan hubungan mereka.
Akhbar Internet xinmin.cn melaporkan, wanita berusia 30 tahun itu yang dikenali sebagai Tu, lebih tua sembilan tahun daripada teman lelakinya, Xia.

Kerana keluarga Xia tidak merestui hubungan mereka, lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk memutuskannya.
Xia enggan membawa pulang Tu untuk menemui keluarganya sempena Tahun Baru Cina.

Sebaik mengetahui Xia hanya membeli satu tiket untuk pulang bercuti, Tu menyangka kekasihnya akan memutuskan hubungan dengannya.

“Dia mencampurkan dadah dalam minuman Xia menyebabkan lelaki itu tidak sedarkan diri di atas katil. Tu kemudian mengambil pisau dan memotong kemaluan Xia,” lapor akhbar itu. Saksi berkata, lelaki itu tiba di hospital kira-kira jam 3 pagi dengan ambulans bersama-sama seorang anggota polis yang membawa kemaluannya dalam termos berisi air.
Seorang wanita dipercayai Tu yang berlumuran darah dilihat berbual dengan pegawai perubatan sebelum dibawa menaiki kereta peronda.

Polis dan pihak hospital enggan menyatakan mengenai keadaan Xia. - Agensi
sumber : mymetro

Bakar ketika susukan anak

Delhi: Seorang ibu muda dibakar hingga mati bersama bayinya oleh suami dan keluarga lelaki itu kerana gagal membayar hantaran perkahwinan.
Polis di negeri Jharkhand di timur India berkata, Annu Devi, 22, dibakar hidup-hidup ketika menyusukan bayi perempuannya.

Polis menahan suaminya, Gunjan Masat yang didakwa menyimbah minyak tanah ke tubuh Devi dan bayi perempuan mereka sebelum membakar kedua-dua beranak itu. Menurut bapa Devi, Raghuni Rana pasangan itu berkahwin lebih setahun tetapi masalah timbul selepas Devi melahirkan bayinya.
“Mereka mahukan anak lelaki tetapi tidak menyedari yang mendapat anak perempuan bukan salah Devi.

“Mereka mula menyeksa anak saya dan saya tidak menyangka mereka sanggup membunuhnya.

‘Mereka ada menuntut motosikal dan televisyen walaupun saya sudah memberikan mereka dua bighas (1.6 ekar) tanah sebagai hantaran perkahwinan,” katanya. Bagi menutupi kematian Devi dan agar kelihatan seolah-olah seperti kemalangan, Gunjan meletakkan tubuhnya berhampiran pendiang api, selain turut meletakkan bekas air berhampiran tempat itu.
Foto
MAYAT Devi dan bayinya yang dibakar hingga mati oleh suami dan keluarga lelaki itu ketika di hospital.
Seorang penduduk melihat Devi dan bayi perempuannya terbaring di halaman rumah mentuanya.

Dia masih bernyawa ketika itu walaupun tubuhnya melecur 90 peratus. Dua beranak itu kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Abang ipar Devi yang didakwa turut terbabit dalam pembunuhan itu masih diburu polis. Superintendan polis di daerah itu, Nirmal Kumar Mishra berkata, semua tertuduh akan ditahan dan didakwa.

Hantaran perkahwinan menjadi alasan utama mengapa bayi lelaki lebih digemari berbanding dengan bayi perempuan dalam budaya India. Ribuan janin digugurkan setiap tahun selepas ujian ultra bunyi menunjukkan jantina janin berkenaan.

Wanita juga dibunuh berikutan isu hantaran perkahwinan setiap jam di India, menurut data dikeluarkan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan negara itu. “Seramai 8,233 wanita muda, kebanyakan pengantin baru dibunuh dalam isu ‘kematian hantaran perkahwinan’ pada 2012,” lapor biro itu tahun lalu. - Agensi
sumber : mymetro

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved