Bunuh anak halau ‘hantu’

on 21 Januari 2014

Germantown: Seorang wanita dari Maryland yang membunuh dua anaknya memberitahu polis, dia terpaksa berbuat demikian bagi mengusir kehadiran roh dan kuasa jahat.
Zakieya Latrice Avery, 28, semalam didakwa dengan tuduhan membunuh selepas menikam matinya anaknya yang berusia setahun dan dua tahun. Polis berkata, anggotanya dikejarkan ke kediaman di utara Washington DC itu awal pagi Jumaat lalu selepas seorang jiran menghubungi talian kecemasan 911 setelah menyedari terdapat sebuah kenderaan dengan pintunya terbuka di luar kediaman itu, selain sebilah pisau juga dikesan berhampiran kenderaan berkenaan.

Sebaik tiba di tempat kejadian, polis mendapati dua kanak-kanak itu sudah mati, manakala dua lagi adik-beradiknya yang berusia 5 dan 8 tahun cedera dengan kesan tikaman.
“Suspek menyangka ada syaitan merasuk kanak-kanak terbabit, jadi dia melakukan upacara menghalau roh jahat dengan membunuh kanak-kanak malang berkenaan,” kata pengarah jabatan jenayah, Kapten Marcus Jones. Seorang lagi wanita yang berdepan tuduhan membunuh ialah Monifa Denise Sanford, 21, yang turut memberikan kenyataan sama ketika disoal siasat polis. Monica ditahan sehari selepas kejadian ngeri itu.

Dua wanita itu yang dipercayai bertemu ketika upacara keagamaan di gereja berkongsi tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu.

Kedua-duanya yang ditahan tanpa ikat jamin atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh dijangka hadir ke mahkamah tengah hari esok (hari ini). - AFP
sumber : mymetro

Piza wajah pengantin untuk kejutan

Manchester: Pasangan pengantin baru yang sangat menyukai makanan segera meraikan majlis perkahwinan dengan mengabadikan potret wajah mereka di atas dua keping piza.
Kieran dan Natasha Morris, dari Bury, Manchester, meminta restoran piza kegemaran mereka mengabadikan wajah mereka di atas dua piza yang berukuran 13 inci diperbuat daripada puri tomato, daging dan jagung.

Restoran piza itu pernah mengabadikan potret artis Nathan Wyburn yang pernah muncul dalam rancangan Britain's Got Talent, selain turut menghasilkan imej seperti ikan duyung, cokelat dan pelbagai lagi.
Dalam tempoh tiga jam, piza istimewa itu siap untuk dihantar kepada pasangan bahagia berkenaan Sabtu lalu.

Kieran berkata, mereka mendapat idea itu untuk memberi kejutan kepada tetamu yang hadir kerana rakan mereka sering berjenaka mengenai tabiat kedua-duanya yang gemar memakan piza.

“Piza yang menampilkan wajah kami menjadi hadiah perkahwinan kepada tetamu. Kami sangat gembira apabila melihat wajah kami di atas piza dan tetamu juga seronok dengan kejutan itu,” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi
Foto
PIZA yang mengabadikan wajah Kieran dan Natasha.
sumber : mymetro

Wanita dua suami

Kuala Lumpur: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abd Razak memfailkan permohonan cerai terhadap seorang wanita yang didakwa sebagai isterinya dan mendakwa defendan sudah berkahwin lain.
Permohonan itu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam dan Wan Amizan turut membuat satu lagi permohonan iaitu mahu mahkamah memfarakkan (membubarkan) perkahwinan defendan dengan pasangannya.

Bagaimanapun, defendan Azma Azifazilla Azan, 28, yang juga pemilik restoran, membantah permohonan Wan Amizan sambil menegaskan dia tidak pernah berkahwin dengan ahli politik itu serta membawa bersama akuan bersumpah bagi menyokong kenyataannya. Azma Azifazilla berkata demikian selepas peguam syarie Mohamad Isa Abd Ralip yang mewakili Wan Amizan memohon kepada mahkamah untuk menyerahkan saman bagi memfarakkan perkahwinannya dengan Rizal Md Radzi, 40.
Ketika memfailkan permohonan, Mohamad Isa berkata anak guamnya mendakwa masih suami sah kepada Azma Azifazilla dan menamakan wanita itu sebagai defendan pertama manakala Rizal defendan kedua.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin kemudian mencadangkan defendan memfailkan pembelaan atau bantahan awal sekiranya berpandangan tuntutan yang dibuat plaintif itu tidak relevan namun ia perlu dibuat secara bertulis. Mahkamah turut menasihati kedua-dua defendan melantik peguam bagi mengimbangi kes dan menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula. Wan Amizan, 42, yang turut diwakili peguam Anita Arifin memfailkan permohonan cerai terhadap Azma Azifazilla pada Disember lalu mengikut Seksyen 47 Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Manakala bagi permohonan membubarkan perkahwinan, ADUN itu mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 61(3)(b)(i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

Wan Amizan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut pada mulanya hadir di mahkamah tetapi pulang sebelum prosiding bermula dengan menaiki sebuah kenderaan berwarna hitam kerana dimaklumkan mempunyai urusan penting. Sementara itu, Azma Azifazilla dan Rizal ketika ditemui di luar mahkamah, memberitahu mereka berkahwin pada 28 September 2013 di Hulu Langat.
“Selepas empat bulan berkahwin baru masalah ini timbul, dan sekarang dia (Wan Amizan) mahu pisahkan kami pula. Ini tidak munasabah kerana Azma sudah jadi isteri saya," kata Rizal.
sumber : mymetro

Taasub bebola ‘Badang’

Kuala Lumpur: Akibat taasub ilmu mistik, seorang warga emas tergamak memaksa menantu lelakinya menelan 100 bebola besi yang setiap satu sebesar wang syiling lima sen kononnya supaya diri gagah dan hebat dalam seni mempertahankan diri.
Menantu itu yang mahu dikenali sebagai Ramlan, 28, berkata, mentuanya mendakwa mempunyai kekuatan luar biasa selepas menelan 100 bebola besi beberapa tahun lalu.
Berikutan itu, katanya, ayah mentuanya yang berusia 60-an memaksanya berbuat demikian supaya kerja mereka sebagai penyelia keselamatan di tapak pembinaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Ayah mahu saya mengikuti upacara ‘telan besi’ dikendalikan seorang bomoh warga Indonesia di Gombak, tapi saya tak mahu terbabit dengan ilmu karut itu.
Foto
RAMLAN bersama anaknya.

“Akibatnya, saya dibuang kerja dan saya nekad membawa isteri serta anak keluar dari rumah mentua. Tapi, ayah semakin marah dan kini sering mengganggu kami,” katanya.
sumber : mymetro

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved