Diculik penari seksi tuntut hutang

on 12 Januari 2014

London: Seorang pemiliki kelab malam mendakwa diculik tiga penari eksotik berpakaian seksi, pengurus mereka dan dua lelaki kerana hutang lebih £20,000 (RM107,660).
Curtis Woodman berkata, kumpulan itu yang menaiki dua kereta BMW merampas £60 (RM323) daripada dompetnya, jam tangan Breitling bernilai £4,650 (RM25,031) selain dipaksa memindahkan £4,800 (RM25,839) ke akaun pengurus wanita terbabit, Charlotte Devaney, 34.

“Wanita terbabit sangat seksi berseluar pendek ala Daisy Duke (watak dalam filem Dukes of Hazard), skirt pendek dan kasut tumit tinggi,” katanya.
Woodman menafikan dia meniru skrip filem gangster Revolver arahan Guy Ritchie, sebaliknya menegaskan kejadian 3 September tahun lalu itu membuatkannya trauma.

Kumpulan itu menuntut bayaran bagi persembahan di kelabnya ketika Pesta Cheltenham pada Mac 2012.

“Memang saya mengupah mereka untuk persembahan lima hari dengan menjanjikan 50 peratus daripada semua bayaran kad kredit dan pendapatan tunai.
“Bagaimanapun, mereka melanggar kontrak yang mensyaratkan mereka tidak menanggalkan pakaian dan perlu sekurang-kurangnya memakai bikini ketika menari sebaliknya tetap berbuat demikian walaupun diberi amaran.

“Perbuatan itu menyebabkan perjanjian antara kami terbatal,” katanya dalam keterangan di sebuah mahkamah di Bristol.
Katanya, Charlotte banyak kali menghubunginya selepas persembahan itu menuntut bayaran, namun dia menjelaskan perkara sama kepada wanita itu.

Menurutnya, pada hari kejadian, kumpulan berkenaan mengepungnya di luar pejabatnya sebelum dia dipaksa memasuki salah satu kenderaan berkenaan dan dibawa lari selama dua jam.

Charlotte didakwa bersama tiga penari, Mandy Cool, 29, Stephanie Pye, 31, dan Rachel Goodchild serta Robert Morris, 27, dan adiknya Alexander, 23. “Saya dihampiri Charlotte dan turut mengenali tiga wanita bersamanya sejurus sebelum kejadian.

“Saya dikepung kumpulan itu,” katanya.

sebelum Robert yang bersenjatakan pisau menolak saya ke dalam keretanya menyebabkan saya bimbangkan keselamatan saya,” katanya.

Woodman menafikan cadangkan peguam Morris, Khalid Missouri bahawa dia memasuki kereta berkenaan secara sukarela kerana tidak mahu membincangkan isu itu di tempat terbuka. Sebelum itu, mahkamah diberitahu persembahan terpaksa dibatalkan selepas tiga malam berikutan aduan diterima pihak polis daripada orang awam.

Mahkamah diberitahu, penari terbabit berjaya meraih pendapatan lumayan termasuk £42,000 (RM226,088) daripada seorang pelanggan, namun Woodman enggan membayar mereka atas alasan melanggar syarat dipersetujui dalam kontrak. - Agensi
sumber : mymetro

Angkara budak jahat

Kota Kinabalu: Polis menafikan semua 31 kejadian tembakan senapang angin menggunakan peluru guli di pintu dan dinding kaca premis sekitar bandar raya dan Penampang ada kaitan dengan perbicaraan 30 pengganas Sulu yang menceroboh di Lahad Datu, yang sedang berlangsung di Kompleks Pusat Penjara Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dilakukan sekumpulan 'budak nakal' yang tidak bertanggungjawab dan tiada kaitan dengan kegiatan pengganas.

“Polis yakin insiden ini dilakukan kumpulan tidak bertanggungjawab, ia bermotifkan untuk menimbulkan kerisauan orang ramai dan berdasarkan perbincangan awal, polis melihatnya sebagai perbuatan golongan muda nakal.
“Bagaimanapun, ia masih dalam siasatan termasuk usaha mengenal pasti kumpulan terbabit yang menaiki tiga kenderaan ketika melakukan perbuatan ini,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dekat sini, semalam.

Jauteh berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 11.45 malam hingga 12.45 tengah malam di sekitar bandar raya termasuk Inanam dan Luyang yang mengakibatkan kerosakan membabitkan 25 premis.

“Hasil pemeriksaan, polis turut menemui beberapa biji guli di lokasi kejadian, dipercayai digunakan kumpulan terbabit untuk memecahkan cermin premis.
Foto
KESAN tembakan pada cermin kaca sebuah pusat beli-belah akibat bidikan senjata angin yang berlaku sekitar Kota Kinabalu.
“Antara premis yang terjejas termasuklah lima bank, tiga hotel dan selebihnya membabitkan pejabat, restoran dan salun.

“Pecahan lokasi termasuk 13 kejadian dilaporkan di pusat bandar, sembilan di Luyang dan tiga lain di Inanam,” katanya yang mengesahkan 19 laporan polis sudah diterima.
Sehubungan itu, Jauteh berkata, pihaknya yakin kumpulan itu yang menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dan kereta memiliki tiga senapang angin untuk melakukan perbuatan terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan khianat.

“Polis kini sedang mengumpul maklumat termasuk daripada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) premis terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, Jauteh meminta orang ramai supaya tidak cemas dan usah mudah percaya khabar angin yang disiarkan di laman sosial.

“Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat boleh menghubungi talian 088-221191 dan jangan mudah percaya dengan sebarang maklumat disebarkan di laman sosial,” katanya.

Sementara itu di Penampang, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh, ketika dihubungi turut mengesahkan enam premis turut menerima nasib sama.

“Kawasan terbabit termasuk empat premis di Donggongon dan selebihnya di Bundusan dan Beverly Hills membabitkan dua bank, bilik pameran kereta, pusat beli belah dan restoran.

“Kejadian ini berlaku antara jam 4 hingga 6 pagi tadi (semalam),” katanya.

Ratan berkata, polis masih melakukan siasatan dan meminta orang ramai memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat.
sumber : mymetro

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved