Diikat, disebat akibat ponteng sekolah

on 15 Disember 2013

Nanchong: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun diikat oleh bapanya pada sebatang pokok sebelum disebat dengan kayu di depan orang ramai.
Kanak-kanak berkenaan dihukum demikian selepas ditangkap oleh bapanya kerana tidak ke sekolah walaupun diberi wang belanja kira-kira RM50. 
Si bapa mengesyaki perbuatan anaknya itu selepas dia pulang lewat minggu ini. 
Selepas memandu mengeliling bandar Nanchong di Sichuan, wilayah di barat daya China, lelaki itu menemui anaknya berhampiran sebuah pasar. 
Foto
KANAK-kanak yang dipukul bapanya kerana ponteng sekolah.
Dia menangkap anaknya lalu mengikat murid itu pada sebatang pokok sebelum menanggalkan seluarnya dan menyebat punggungnya dengan kayu tanpa mempedulikan cuaca sejuk dan orang ramai yang lalu lintas di kawasan berkenaan. 
Walaupun terdapat undang-undang di China yang menghalang penderaan melampau terhadap kanak-kanak, tindakan lelaki itu masih dibenarkan kerana wujud undang-undang lain yang membolehkan pihak berkuasa mengarahkan ibu bapa melaksanakan disiplin ketat ke atas anak mereka sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan serius. 

Menurut lelaki itu, anaknya tidak hadir ke sekolah beberapa hari tanpa pengetahuannya dan kanak-kanak itu tidak pulang tepat pada waktunya sehari sebelum dia memukulnya. 

Keesokannya, dia menemui anaknya berkeliaran di jalan raya. Kanak-kanak itu cuba lari tetapi ditangkap bapanya. - Agensi
sumber : mymetro

Dipecat kerana tak solat subuh

Riau: Seramai 19 pekerja kontrak kerajaan di wilayah Hulu Rokan dipecat kerana gagal menghadiri solat subuh yang dijadikan program keagamaan wajib pihak berkuasa tempatan pada setiap Jumaat.
“Kebanyakan yang dipecat adalah lelaki.
“Kejadian berlaku pada pertengahan November,” kata ketua Jabatan Sumber Manusia Rokan Hulu, Heni Widiastuti.
Pada 8 November lalu, ketua wilayah Parti Demokratik, Achmad, membuat pemeriksaan mengejut di masjid itu yang terletak di kompleks pejabat wilayah.
Syarat menghadiri solat subuh itu dilaksanakan tiga tahun lalu.
Selain itu, kakitangan turut diwajibkan berpuasa setiap Isnin dan Khamis, menghadiri kelas mengaji setiap petang Rabu dan menyertai solat setiap jam 3 petang.
Seorang daripada pekerja dipecat yang enggan namanya disiarkan meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan itu.
Dia yang bertugas di situ selama lima tahun mendakwa tidak diberi sebarang amaran.
Selain itu, alasan diberikan iaitu tinggal terlalu jauh sehingga terpaksa bermalam di pejabat jika mahu menghadiri solat subuh jemaah setiap Jumaat tidak diendahkan.
“Pada hari kejadian saya tidak sihat, namun terlupa memaklumkan bos saya,” katanya.

Bagaimanapun, Heni berkata pekerja terbabit menandatangani perjanjian berdepan tindakan dipecat jika gagal mematuhi polisi ditetapkan.

- Agensi
sumber : mymetro

Curi kepala mayat anak dara

Cilacap: Polis di daerah di Jawa Tengah ini semalam melancarkan siasatan terhadap perbuatan mencuri mayat yang berlaku dua kali dalam masa seminggu.
Bercakap di tanah perkuburan Sabuk Janur, tempat mayat berkenaan dicuri, Ketua polis tempatan Andri Triaspoetra berkata, pihaknya hingga kini belum dapat memastikan motif perbuatan berkenaan.
Menurut penduduk tempatan, antara mayat yang dicuri dari tanah perkuburan itu ialah milik Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini.

Pemeriksaan yang dilakukan mendapati pencuri hanya mengambil kepala dan meninggalkan bahagian tubuh lain di dalam liang lahad.
Foto
POLIS memeriksa kubur Endah Setyowati.

Turut ditemui berhampiran kubur Endah ialah cangkul kecil, kandang ayam, sarang burung, lilin berbentuk angka 2 dan 4 sesuai usia mayat, dan beberapa potongan tubuh mayat.
Penduduk tempatan yakin kejadian mencuri mayat berkenaan ada kaitan dengan amalan ilmu hitam memandangkan Endah masih anak dara ketika meninggal dunia dan mati pada Jumaat Keliwon, yang mengikut kepercayaan masyarakat Jawa, jatuh pada setiap malam Jumaat ketiga pada sesuatu bulan.

Seorang bomoh dari Pasuruan, Jawa Timur, Mas Hari berkata, dia percaya si pencuri itu baru belajar ilmu hitam, termasuk mahu kaya cepat.- Agensi
sumber : mymetro

Gempar ‘Pontianak Kota Kemuning’

Shah Alam: Penyebaran imej seorang wanita berambut panjang di sekitar Kota Kemuning, di sini, sejak beberapa hari lalu, menimbulkan misteri dalam kalangan penduduk setempat.
Imej dalam foto itu kini dikatakan tersebar luas pengguna telefon pintar dan dipercayai dirakam di sebuah kawasan pembinaan sekitar bandar raya ini sebelum diperoleh seorang penduduk.
Beberapa penduduk yang melihat gambar itu memberi pelbagai reaksi kerana sehingga kini tidak diketahui siapa merakam imej berkenaan.

Penduduk Shamsudin Daim, 40, berkata, imej dalam foto itu dipercayai dirakam pada waktu siang ketika beberapa pekerja menyiapkan kerja menambak tanah di sebuah tapak pembinaan.
Foto
GAMBAR yang dirakam seorang lelaki dengan imej wanita berambut panjang (dalam bulatan) di Kota Kemuning.

Bagaimanapun, katanya, ketulenan foto itu tidak dapat disahkan kecuali selepas ia dinilai pakar dalam bidang teknologi fotografi atau grafik jika gambar berkenaan menggunakan teknik pertindihan.
“Memang foto imej wanita berambut panjang itu tersebar meluas di sekitar Kota Kemuning. Cuma kita tidak tahu siapa merakamnya. Mungkin ia tulen atau mungkin juga tidak. Hanya pakar dapat menentukannya.

“Namun berdasarkan imej diperoleh, memang tertera imej seorang wanita berambut panjang,” katanya yang tidak mengetahui identiti perakam gambar itu.

Sementara itu, Bilal Surau Al-Hidayah Jalan Kebun Jamal Sanusi, 50, yang turut melihat imej berkenaan berkata, tiada yang mustahil dalam kehidupan manusia, terutama membabitkan sesuatu yang ghaib atau di luar pengetahuan.

“Cuma kita tidak boleh terlalu taksub selagi kita tidak tahu kesahihan gambar berkenaan atau sebaliknya.

“Perkara begini kadangkala boleh menjejaskan akidah kalau kita tidak berhati-hati jika orang ramai mempercayainya bulat-bulat,” katanya.
sumber : mymetro

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved