Ugutan bunuh cikgu

on 26 Julai 2013

Kuala Lumpur: “Bukan setakat mencari saya di sekolah untuk melepaskan kemarahan, ada menghubungi dan membuat pelbagai ugutan termasuk mahu membunuh saya,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristina, Sungai Buloh, Mohamad Nasir Mohd Noor, 57.
Mohamad Nasir kini menjadi mangsa kecaman selepas ada ibu bapa murid sekolah itu menyebarkan di laman sosial kononnya murid bukan Islam diarahkan pihak pengurusan sekolah makan dalam tandas sepanjang Ramadan ini.

Hakikatnya, perkara itu tidak berlaku, sebaliknya pihak pengurusan SK Seri Pristina menggunakan sebuah bilik persalinan yang baru siap dibina sebagai kantin sementara sejak Mac lalu bagi menggantikan kantin sedia ada yang terbabit dalam kerja pembinaan untuk dinaik taraf. Perkara itu dijelaskan sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan selepas melawat sekolah itu, kelmarin sambil menafikan berlaku diskriminasi kaum dalam isu ini. Bagaimanapun, kenyataan itu nyata masih tidak diterima segelintir pihak, sama ada mereka benar-benar terkeliru atau sengaja mengambil kesempatan untuk terus ‘menyerang’ Mohamad Nasir.
Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian terbaru semalam dia sekali lagi menerima ugutan daripada individu tidak dikenali menyamar keluarga murid sebelum menceroboh dalam sekolah dan memaki-hamunnya.

“Kini saya bimbang dengan keselamatan diri hanya kerana salah faham ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab yang melemparkan pelbagai tohmahan tidak benar dengan niat ingin mencalar imej sekolah ini.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama hari ini (semalam) bersama enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah bertujuan menafikan tohmahan saya mengarahkan murid bukan Islam makan dalam tandas.
“Saya membuat laporan polis kerana tidak mustahil pihak berdendam dan masih tidak puas hati akan mengupah pembunuh upahan membunuh saya,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, golongan yang masih tidak puas hati itu juga menghina dan mencerca dalam laman sosial Facebook miliknya dengan perkataan yang menjatuhkan maruahnya.
Menerangkan situasi sebenar di sebalik tindakan pihak pengurusan sekolah menggunakan bilik persalinan (yang belum digunakan) sebagai kantin sementara, Mohamad Nasir berkata ia dibuat semata-mata untuk keselesaan pelajar. “Apa ditulis dan disebarkan dalam Facebook amat tidak tepat kerana bilik persalinan dijadikan kantin sementara itu bersih. Ini kerana ia belum digunakan, malah diubah suai seperti sebuah dewan makan.

“Bilik persalinan itu bukan hanya digunakan pada Ramadan ini khas untuk murid bukan Islam, malah sudah digunakan sejak Mac lalu oleh murid pelbagai kaum termasuk murid Melayu beragama Islam.

“Kami sebagai warga pendidik amat kesal dengan tohmahan itu dan tertekan akibat fitnah itu yang tersebar luas di laman sosial dan media,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan dibuat Mohamad Nasir.

Menurutnya, dua laporan polis dibuat pihak sekolah bagi menafikan dakwaan yang tersebar di laman sosial terbabit sehingga menyebabkan mereka tertekan dan menjatuhkan reputasi sebagai pendidik.

“Mereka juga menyatakan akibat kejadian itu guru di sekolah terbabit hilang tumpuan untuk mengajar dalam kelas,” katanya.

Harian Metro difahamkan Mohamad Nasir sudah diarahkan bercuti seminggu dan kemungkinan akan ditukarkan ke sekolah lain demi keselamatannya.

Sementara itu, Kalamanathan yang dihubungi Harian Metro untuk mendapat penjelasan kemungkinan Mohamad Nasir diarahkan bertukar ke sekolah lain enggan memberi ulasan lanjut.

Beliau berkata, perkara itu dianggap selesai dan menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.
sumber ; mymetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved