Muktamad shisha haram

on 20 Julai 2013

Kuala Lumpur: Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan shisha adalah haram bagi umat Islam.
Selain menghisap shisha, muzakarah yang bersidang pada Rabu lepas turut melarang umat Islam daripada menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti berkaitan shisha.

Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam kenyataan semalam.
“Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar daripada Kementerian Kesihatan dan meneliti maklumat serta bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan besar yang dihadapi akibat shisha...maka muzakarah bersetuju memutuskan shisha adalah haram,” katanya.

Abdul Shukor menjelaskan penggunaan shisha akan memberi kesan dan kemudaratan besar dari segi kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang.

Muzakarah khas itu, katanya, mendapati semua dapatan saintifik menerusi pelbagai kajian komprehensif di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa berjaya membuktikan shisha memberi kesan amat berbahaya dan penularannya amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan wanita. “Muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak terlibat dengan aktiviti berkaitan shisha kerana pengharamannya adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan hadis serta kaedah Fiqhiyyah,” katanya.
Ini, katanya, bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara seperti mana tuntutan syarak.

“Shisha jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai perkara buruk atau keji yang perlu dihindari oleh semua umat Islam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu juga kecewa terhadap perlakuan pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam, sekali gus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

Muzakarah khas berpandangan siri-siri penghinaan yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab ini semacam sudah dirancang dan sengaja dilakukan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang amat mulia bagi umat Islam,” katanya.

Menurutnya, perbuatan golongan itu melampaui batas kesabaran umat Islam.

“Dengan pelbagai penghinaan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata biadap dan tidak bertamadun oleh rakyat Malaysia atau warga asing dipandang sebelah mata,” katanya.

Dr Abdul Shukor menekankan, tindakan tegas perlu dilaksanakan pihak berkuasa supaya perbuatan menghina Islam tidak terus berulang, selain menjadi pengajaran buat semua.

Beliau menarik perhatian perbuatan menghina dan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan kemudian memohon maaf menjadi mainan pihak berkaitan dan ini tidak harus dibiarkan berlaku. - BERNAMA
sumber : mymetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved