Hukum blogger biadab

on 14 Julai 2013

Johor Bahru: Kegagalan meraih populariti menerusi video seks mereka pada Oktober tahun lalu dipercayai menjadi punca pasangan blogger sanggup bertindak biadap dengan memuat naik gambar mereka menikmati khinzir sambil mengucapkan selamat berbuka puasa, Jumaat lalu.
Dua blogger dikenali sebagai Alvin Tan dan Vivian Lee, memuat naik gelagat mereka menikmati makanan itu dengan ucapan: ‘Selamat berbuka puasa dengan bak kut teh…wangi, enak menyelerakan!’ di laman Facebook.

Di bawah gambar itu turut tertera ucapan mereka ‘Izinkan kami memperkenalkan cara kami memupuk semangat 1Malaysia dengan bertukar-tukar makanan antara kaum-kaum Malaysia pada musim perayaan yang mulia ini. Hak untuk menikmati juadah enak tempatan seharusnya merentasi batasan bangsa dan juga agama. Kepada saudara-saudari yang beragama Islam, selamat berbuka puasa dan Salam Aidilfitri!’ Menyedari kebiadapan pasangan berkenaan, Persatuan Usahanita Cawangan Kulai dan Persatuan Diabetes Tanjung Puteri menggesa pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas dua blogger itu berikutan tindakan biadap mereka mengganggu sensitiviti umat Islam.
Aktivis Sosial Persatuan Diabetes Tanjung Puteri Fairus Jamaluddin berkata, kelakuan itu satu perbuatan kurang ajar yang melampaui batas.

“Negara kita adalah negara Islam, perbuatan ini memang tidak sewajarnya berlaku. Saya berharap pihak berwajib terutama SKMM mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahanita Cawangan Kulai Mazanah Mohamad Zin membuat laporan polis di Balai Tampoi di sini, pada jam 1 tengah hari semalam, kerana tidak berpuas hati dengan perbuatan dua bloger berkenaan.
“Saya mewakili semua orang Islam yang sememangnya marah dan tidak berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan.

“Sebagai orang Islam, kita harus pandang serius perkara ini apatah lagi berkaitan makanan tidak halal yang mereka katakan kita semua boleh makan.
“Tidak baguslah berkelakuan begitu. Walaupun kita melaungkan semangat 1Malaysia mewakili semua bangsa, mereka tidak boleh memperkotak-katikkan Islam seolah-olah tidak menghormati umat Islam sedangkan masing-masing ada agama yang perlu kita hormati,” katanya.
sumber : mymetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved