Hayunan sejadah usir dua penyamun

on 06 Julai 2013

Segamat: Dua penjenayah, seorang daripadanya bersenjatakan pisau, lari lintang-pukang selepas ditewaskan seorang pelajar sebuah sekolah agama yang hanya menggunakan sejadah sebagai senjata ketika rumahnya di Bandar Putra di sini, dipecah masuk, semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa, Abdul Hanan Hasan, 18, yang berseorangan terjaga daripada tidur ketika hendak ke bilik air.

“Selepas solat Isyak, saya terlena di atas sejadah di ruang tamu rumah dan terjaga kerana terasa mahu ke bilik air.
“Saya kemudian ke ruang tamu semula untuk melipat sejadah sebelum berjalan ke arah bilik dan terkejut apabila seorang lelaki tiba-tiba menegur saya sambil mengugut supaya menyerahkan wang tunai serta motosikal jika mahu selamat,” katanya.

Abdul Hanan berkata, dia kemudian mencabar lelaki terbabit sebelum penjenayah lingkungan 20-an itu menyerangnya.

“Saya menumbuk mukanya dengan tangan kiri memandangkan tangan kanan masih memegang sejadah menyebabkan dia terjatuh ke lantai.
“Bagaimanapun, tiba-tiba saya dipukul dari belakang dengan topi keledar oleh seorang lagi lelaki. Seorang daripada penjenayah terbabit mengeluarkan pisau dan cuba menikam saya,” katanya.

Abdul Hanan berkata, dia nekad menggunakan sejadah itu untuk menghalang tikaman sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.
Menurutnya, dia kemudian berjaya menjatuhkan pisau penjenayah selepas memukul lelaki terbabit dengan sejadah.

“Saya sempat memukul muka seorang daripada penjenayah dengan sejadah, kedua-dua mereka kemudian berlari keluar sebelum memanjat pagar rumah dan melarikan diri dengan menunggang motosikal Honda EX5 berwarna hitam.

“Seorang daripada penjenayah sempat menjerit dan mengakui tidak akan masuk ke rumah jika tahu saya belajar seni mempertahankan diri,” katanya.

Penjenayah dikatakan menolak motosikal sejauh kira-kira 20 meter sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Menurut Abdul Hanan, dia belajar seni mempertahankan diri tomoi ketika berusia 13 tahun dengan rakan bapanya di pantai timur.

“Akibat bergelut dengan penjenayah, bahagian belakang badan luka, bahu kiri pula menerima lima jahitan selain calar di bahagian badan lain,” katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik.

“Bagaimanapun, bersyukur kerana terselamat dalam kejadian ini,” katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Hanafi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Pelajar berkenaan bertindak berani, namun saya menasihati orang awam supaya segera memaklumkan kepada polis jika berdepan dengan kecemasan seperti itu.

“Siasatan awal mendapati suspek menceroboh masuk ke dalam rumah selepas mengumpil pintu depan kediaman berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kedua-dua penjenayah dipercayai lingkungan 20-an.
sumber : mymetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved