Bos tersungkur selesai minum

on 30 Julai 2013

Ipoh: “Saya hanya mendengar beberapa bunyi letupan seperti mercun dan kemudian melihat seorang lelaki berlari sebelum rebah atas jalan akibat ditembak. Saya dan semua pelanggan di restoran bertempiaran lari menyelamatkan diri,” kata seorang wanita yang menyaksikan kejadian tiga pelanggan sebuah restoran di Lebuh 5, Kampung Simee, di sini, ditembak, malam kelmarin, hingga menyebabkan seorang daripadanya maut.
Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa, Jasrafveendeerjeet Singh, 25, mati akibat ditembak di bahagian dada dan kepala, manakala sepupunya yang berusia 28 tahun, cedera di tangan kiri dan seorang lagi lelaki berusia lingkungan 50-an terkena tembakan pada bahagian pipi dan telinga.

Menurut wanita yang enggan dikenali itu ketika kejadian, dia baru selesai makan malam di restoran berkenaan bersama keluarganya dan sedang bersiap untuk pulang ke rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
“Ketika kejadian, lima lelaki sedang duduk di sebuah meja di kawasan kaki lima restoran berkenaan dan meja kami terletak jauh sedikit dari mereka. Sebelum itu, mereka hanya bertiga saja, dua daripadanya datang kemudian termasuk seorang lelaki yang cedera di telinga.

“Tidak sampai 15 minit dua lelaki terbabit tiba di restoran berkenaan, datang sebuah kereta dan berhenti berdekatan meja kelima-lima lelaki terbabit, sebelum lelaki yang maut dilihat bangun berjalan menuju ke kereta itu,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian, awal pagi semalam.

Wanita berkenaan berkata, ketika itulah dia terdengar bunyi macam mercun meletup, namun letupan itu tidak kuat dan berulang beberapa kali sebelum semua pelanggan yang duduk di dalam dan luar restoran bertempiaran lari termasuk dirinya selepas mendapati ia sebenarnya bunyi tembakan. Katanya, beberapa minit kemudian dia kembali semula ke restoran berkenaan dan terkejut apabila mendapati seorang daripada lima lelaki terbabit terbaring atas jalan dengan kesan cedera pada dada dan kepala, manakala dua lagi turut cedera di tangan dan pipi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong yang ditemui di lokasi kejadian berkata, ketiga-tiga mangsa yang cedera itu kemudian dihantar ke hospital berhampiran selepas orang ramai melaporkannya kepada pihak berkuasa dan seorang daripadanya maut ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan.

“Berdasarkan siasatan awal dan keterangan daripada beberapa saksi di tempat kejadian, sekurang-kurangnya dua suspek dipercayai terbabit dalam kejadian dengan seorang daripadanya melepaskan beberapa das tembakan terhadap semua mangsa.
“Suspek dilihat datang ke restoran itu menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna hijau dan melepaskan tembakan sebelum memecut laju meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya.

Sum berkata, Unit Forensik turut menemui beberapa kelongsong peluru di lokasi kejadian dan sejurus selepas kejadian Ops Tutup dilancarkan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Dua mangsa yang cedera kini dirawat di hospital dan dilaporkan stabil,” katanya.

Difahamkan seorang daripada mangsa yang cedera mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan termasuk dalam senarai dikehendaki polis.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa tidak dapat menerima hakikat mangsa ditembak kerana percaya mangsa tiada musuh dan tidak terbabit dalam mana-mana kegiatan samseng atau kongsi gelap.

“Mangsa yang mengusahakan syarikat kawalan keselamatan memang sering minum di restoran berkenaan dengan sepupunya yang juga bekerja sebagai penarik kereta.

“Kami percaya sasaran utama suspek bukan kedua-dua saudara kami yang meninggal dan cedera itu,” kata seorang daripada ahli keluarga mangsa yang ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
sumber : mymetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved