Bintang Glee mati dalam bilik hotel

on 15 Julai 2013

Vancouver: Bintang siri televisyen Glee, Cory Monteith ditemui mati dalam bilik hotel disewanya di Kanada semalam.
Aktor bermasalah yang terkenal sebagai Finn Hudson dan menjadi kegilaan remaja dalam siri popular itu baru-baru ini menghabiskan masa di klinik pemulihan kerana ketagihan dadah.

Pekerja di Hotel Pacific Rim di Vancouver menemui mayat pelakon itu yang ketika tengah hari selepas dia gagal mendaftar keluar seperti sepatutnya dari tingkat 21 hotel berkenaan.
Polis berkata, Monteith, 31, keluar bersama kawan-kawannya pada malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Doug Lepard berkata, tiada tanda-tanda menunjukkan berlakunya perbuatan khianat. Bedah siasat dijangka dilakukan hari ini.

Berita kematian Monteith mengejutkan ramai bintang Glee yang lain dan sejurus selepas kematiannya tersebar, bertalu-talu ucapan takziah disebarkan di Twitter.
Foto
MONTEITH ditemui mati di Hotel Pacific River, Vancouver Kanada, semalam.

Bintang Glee Dot-Marie Jones yang melakonkan watak jurulatih bola sepak Shannon Beiste berkata, dalam Twitter: “Tiada apa dapat dikatakan, hati saya hancur!” Dia juga menyifatkan Monteith sebagai “kawan yang baik” dan “lelaki hebat”.

Bintang sitcom New Girl, Zooey Deschanel turut menyuarakan komennya di Twitter: “Satu kehilangan yang tragik bagi seorang lelaki muda yang berbakat. Doa dan ingatan kami buat keluarga dan individu tersayangnya.” Stesen televisyen 20th Century Fox yang menerbitkan Glee juga memberi ucapan penghormatan kepada aktor itu dengan ucapan “bakat luar biasa dan individu luar biasa. Dia teman sekerja yang ceria dan kami semua pasti akan merinduinya.” 

Pengurus Monteith dalam satu kenyataan mengatakan, “Kami semua terkejut dan bersedih dengan kehilangan tragik ini.” Pada April lalu, Monteith mengakui dia menjalani rawatan “ketagihan dadah” dan meminta ruang privasi ketika proses pemulihan. Sementara itu, pelakon gandingannya dalan Glee yang juga teman wanitanya, Lea Michele memberitahu sebuah majalah bahawa dia menyayangi, menyokong Monteith dan bangga kerana aktor itu mendapatkan rawatan bagi ketagihannya. 

Ia bukan kali pertama Monteith berada di pusat pemulihan. Dia mula menerima rawatan ketika berusia 19 tahun dan pernah bercakap mengenai usahanya untuk mengatasi masalah ketagihan dan mengatakan dia mempunyai masalah yang serius dan mengambil “apa saja”. - Agensi
sumber : mymetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved