'Ayam online' tumpas

on 21 Julai 2013

Johor Bahru: Tanpa menghiraukan kemuliaan Ramadan, satu sindiket yang menawarkan khidmat ‘ayam online’ iaitu mengiklankan perkhidmatan pelacur wanita Thailand melalui tempahan dalam talian, meneruskan aktiviti mereka dengan mempelawa lelaki hidung belang mendapatkan khidmat seks.
Sindiket itu yang aktif sejak beberapa bulan lalu bagaimanapun tumpas selepas pusat operasi mereka di sebuah hotel di Jalan Wong Ah Fook, di sini, diserbu Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Johor, jam 12 tengah malam semalam.

Sembilan wanita warga Thailand berusia 21 hingga 31 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua operasi, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Khairulanuar Abu Bakar berkata, sindiket itu menggunakan laman web dibuat khas sebagai medium untuk menawarkan khidmat seks dengan memuat naik gambar gadis berpakaian separuh bogel bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan.

“Pelanggan bernafsu besar juga boleh membuat tempahan untuk mendapatkan khidmat dua atau tiga wanita warga asing, termasuk pasangan kembar yang turut terbabit dengan aktiviti itu.

“Pelanggan boleh membuat tempahan dengan menghubungi atau mengirim SMS kepada bapa ayam menggunakan nombor telefon tertera di laman web terbabit.
“Tindakan ini dianggap berani kerana sesiapa saja boleh mengakses laman web terbabit, pelanggan yang berminat dikenakan caj perkhidmatan antara RM168 hingga RM400 bagi setiap perkhidmatan bergantung kepada jumlah gadis yang ditempah serta paras rupa,” katanya.

Khairulanuar berkata, dalam pemeriksaan dijalankan, pihaknya juga menemui peralatan menghisap dadah jenis syabu di dalam simpanan seorang pelacur yang ditahan.
Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut termasuk kemungkinan bahan terlarang itu diguna oleh wanita terbabit ketika melayan pelanggan.

“Bilik di hotel terbabit ditempah khas sebagai sarang pelacuran dan lokasi menempatkan pelacur sepanjang mereka berada di negara ini bagi mengelak aktiviti itu dihidu pihak berkuasa.

“Ia berdasarkan penemuan sejumlah besar makanan ringan, termasuk roti, mi segera, air mineral dan kopi segera yang menjadi makanan utama pelacur terbabit sepanjang mereka berada di dalam bilik.

“Pelacur terbabit tidak dibenarkan keluar dari bilik, sebaliknya makan, tidur, berehat dan melayan pelanggan yang datang mendapatkan khidmat seks di dalam bilik sama,” katanya.

Menurut beliau, sindiket terbabit biasanya akan berpindah selepas merasakan lokasi terbabit mula panas.

“Semua pelacur terbabit memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, kami juga mengesan dalang sindiket dan bapa ayam yang menguruskan pelacur,” katanya.
sumber : mymetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved