20 samseng buat kejutan hari jadi

on 11 Julai 2013

Banting: Seorang lelaki menerima ‘kejutan’ hari jadi yang tidak mungkin dilupakan apabila dia menerima kunjungan kira-kira 20 lelaki yang mengamuk hingga hampir meragut nyawanya dalam satu serangan ala kongsi gelap di sebuah kawasan perumahan di Telok Panglima Garang, di sini, Isnin lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam itu menyebabkan mangsa yang berusia 50 tahun cedera di muka dan mata manakala seorang lagi lelaki dipercayai seorang daripada kumpulan penyerang berkenaan kini masih bertarung nyawa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kerana terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan berkata, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, polis bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki terbaring dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan adalah seorang daripada 20 lelaki yang datang ke rumah mangsa untuk menyerangnya.

“Susulan kejadian itu, kita menghantar semua mangsa untuk menerima rawatan sementara gerakan mencari suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu turut dijalankan.

“Hasilnya, kita menahan enam lelaki berusia antara 22 hingga 27 tahun di sekitar kawasan berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi dan kita sedang mencari beberapa individu lain yang dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

“Motif kejadian dan hubungan mangsa dengan lelaki terbabit masih dalam siasatan,” katanya.
sumber : mymetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved