Sakit lutut rupanya barah

on 25 Jun 2013

Kota Bharu: Seorang graduan Kolej Komuniti Gerik, Perak terpaksa melupakan hasrat membantu menyara keluarga selepas disahkan menghidap barah sendi lutut selain terpaksa menjalani pembedahan implan di lutut kiri yang memerlukan kos RM32,000 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini.
Oing Sin Chew, 21, dari Salor, dekat sini, disahkan menghidap penyakit berkenaan dua bulan lalu selepas sering sakit di bahagian lutut kirinya sebelum membuat pemeriksaan di Hospital Pasir Mas.

Bekas pelajar jurusan teknologi maklumat itu berkata, selepas membuat pemeriksaan di Hospital Pasir Mas, doktor mengesahkan lututnya mempunyai kesan patah dan perlu dirujuk ke HUSM.
Katanya, selepas dirujuk ke HUSM, doktor pakar jabatan ortopedik mengesahkan ada ketumbuhan di lutut kirinya dan perlu dibedah segera sebelum ketumbuhan berkenaan menjadi lebih parah.

“Saya fikir selepas tamat belajar mahu bekerja dan bantu keluarga. Bagaimanapun, saya tidak menyangka rasa sakit di bahagian lutut disebabkan ada ketumbuhan. Doktor memaklumkan pembedahan segera perlu dilakukan bagi membuang ketumbuhan berkenaan sebelum ia merebak lebih besar.

“Saya harap ada pihak sudi menghulurkan bantuan untuk menanggung kos pembedahan ini kerana saya mahu kembali sihat supaya dapat bekerja bagi membantu keluarga,” katanya ketika ditemui di Jabatan Ortopedik, HUSM, di sini, semalam.
Sementara itu, ibunya, Chua Poo Niw, 49 berkata, dia sekeluarga hidup susah selepas suaminya meninggal dunia 18 tahun lalu dan hanya bergantung kepada bantuan abangnya yang bekerja sebagai buruh.

Katanya, dia tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga ibunya yang berusia 89 tahun dan uzur. “Anak perempuan sudah kawin dan anak lelaki hanya melakukan kerja kampung dan saya tidak mampu mencari wang RM32,000 itu untuk menanggung kos pembedahan anak bongsu saya.
“Saya harap ada pihak prihatin dan sudi menghulurkan sumbangan. Saya tidak berdaya menyediakan wang sebanyak itu,” katanya. Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan dan menghantar cek kepada The New Straits Times Press (M) Bhd, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama pesakit berkenaan di belakang cek itu.
sumber : mymetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved