PARIT BUNTAR: Seorang pekerja kontrak maut selepas ditetak dengan parang oleh rakan karibnya sejurus mangsa pulang dari sebuah kelab malam di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, mangsa, Hong Peng Kang, 39, diserang rakan karibnya di hadapan rumah suspek di Pekan Baru di sini, selepas mangsa dan suspek bersama-sama berhibur di pusat hiburan berhampiran bandar Parit Buntar.
Abang mangsa, H’ng Peng Joo, 47, berkata, tragedi berlaku apabila adiknya itu didakwa berselisih faham dengan suspek ketika mereka berada di pusat hiburan itu.
Menurutnya, pergaduhan itu bagaimanapun dileraikan rakan lain sebelum adiknya beredar pulang ke rumah.
“Bagaimanapun pergaduhan itu tercetus semula di hadapan rumah suspek sebelum adik saya diserang dengan parang. Suspek bertindak menetak parang ke arah lengan tangan kiri adik saya hingga cedera parah.
“Adik saya yang berlumuran darah bagaimanapun mampu memandu kereta pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di hadapan bangunan Unit Forensik, Hospital Parit Buntar, semalam.
Dia segera membawa adiknya mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar namun adiknya itu disahkan mati jam 4.30 pagi semalam akibat pendarahan teruk.
Menurutnya, kematian adiknya itu amat mengejutkan memandangkan mendiang masih mampu berjalan untuk mendapatkan rawatan di unit rawatan kecemasan tanpa perlu dipapah sebaik tiba di hospital.
sumber : mymetro




Tiada ulasan:
Catat Ulasan