KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun gagal dikesan sehingga kini dipercayai dilarikan seorang lelaki yang mengajaknya makan ketika keluar bersama ibunya di sebuah pasar raya di sini pada 22 Oktober lalu.
Noraini Rahman, disahkan hilang oleh ibunya, Nor Masila Ayob, 45, apabila dia tidak kembali kepada ibunya semula selepas dipelawa makan oleh seorang lelaki berusia lingkungan awal 20-an kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian. Bapa remaja terbabit, Rahman Sijan, 56, berkata, memang telah menjadi kebiasaan anaknya itu bersama ibunya keluar dan melepak di pasar raya yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock.
“Mereka keluar dari rumah kami di Keramat pada waktu tengah hari dan melepak sehinggalah pada jam 8 malam, seorang lelaki tiba-tiba menghampiri mereka dan mengajak anak saya makan.
“Isteri menunggunya di tingkat empat pasar raya berkenaan, tetapi kelibatnya langsung tidak kelihatan sehingga jam 7 pagi keesokan harinya,” katanya. di sini semalam.
Rahman yang bekerja sebagai tukang cuci kereta dan pinggan mangkuk di sebuah kedai makan berkata, dia mengetahui kehilangan Noraini keesokan harinya setelah pergi mencari dua beranak itu yang tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, ini adalah kejadian pertama menimpa anak keempat daripada lima beradik itu dan dia bimbangkan keselamatan anaknya itu, walaupun sudah membuat laporan polis. Sementara itu, Nor Masila berkata dia tidak menghalang apabila seorang lelaki tidak dikenali mempelawa anaknya itu keluar makan dengan harapan Noraini akan pulang semula di tingkat empat pasar raya terbabit.
Mereka yang mempunyai maklumat atau pernah terserempak dengan Noraini boleh menghubungi Rahman di talian 016-6049403.
sumber : mymetro




Tiada ulasan:
Catat Ulasan