Balasan bawa isteri, anak jual dadah

on 15 Ogos 2012


KOTA BHARU: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam terhadap tuduhan memiliki dadah jenis heroin ketika ditahan bersama bekas isteri dan dua anaknya, tahun lalu.
Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Razani Ibrahim, 47, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Beliau memerintahkan Razani menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 27 Januari tahun lalu.


Azman dalam penghakimannya menasihatkan tertuduh supaya insaf dengan kesalahan yang dilakukannya.

“Kamu berani membawa bersama isteri dan dua anak ketika ditahan, apa akan jadi jika kejadian tembak-menembak berlaku? “Saya berharap kamu insaf sepanjang menjalani hukuman,” katanya.


Mengikut pertuduhan, Razani didakwa memiliki heroin seberat 6.76 gram di hadapan Balai Bomba Rantau Panjang, Pasir Mas, jam 9.30 malam pada 27 Januari tahun lalu.



Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2), akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, dua anggota polis menyamar sebagai pembeli dadah bertemu tertuduh yang datang dengan sebuah motosikal bersama isteri dan dua anaknya bagi menjual bekalan dadah.


Tertuduh kemudian bertemu dengan seorang anggota polis itu dalam sebuah kereta dan menyerahkan beg kertas berisi 10 botol plastik yang mengandungi heroin sebelum anggota polis itu memberi isyarat kepada rakannya untuk menangkap tertuduh yang masih berada dalam kereta.

Cubaan tertuduh melarikan diri gagal apabila ditahan.


Terdahulu, peguam tertuduh, Ahmad Nizam Mohamed memohon hukuman paling minimum dikenakan terhadap anak guamnya.


“Dia baru bercerai dengan isterinya dan perlu menyara dua anak yang masih kecil,” katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd Anas memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukannya


sumber : myMetro
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Catat Ulasan

Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved