Kakak penyanyi pop terjatuh ,perut tertusuk kekisi besi

on 12 Oktober 2010

LONDON: Kakak bintang pop Mika dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital selepas terjatuh setinggi 50 kaki dari tingkap rumahnya dan tertusuk kekisi besi.


TINGKAP tingkat tiga di mana Paloma jatuh. 

 MIKA dan Paloma. 

Paloma Penniman, 28, jatuh dari tingkap di tingkat tiga kediaman di Kensington, barat London, semalam selepas hilang pertimbangan ketika duduk di atas belebas tingkap.

Kedua-dua kaki dan bahagian perutnya tertusuk pada runcing kekisi besi dan anggota bomba terpaksa memotong sebahagian daripadanya supaya Paloma dapat dibawa ke hospital.

Difahamkan Paloma sudah menjalani pembedahan pagi semalam di Hospital Diraja London di Whitechapel, timur London.

Jurucakap balai polis Scotland Yard berkata: “Polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.15 pagi memaklumkan terdapat seorang wanita yang terjatuh dari tingkap tertusuk pada kekisi besi.” Jurucakap Mika, 27, pula berkata, Paloma mengalami kemalangan yang serius.

“Dia masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil. Keluarga Mika meminta supaya pihak media dan orang ramai menghormati tragedi yang menimpa keluarga mereka.


Seorang sumber yang rapat dengan penyanyi itu berkata: “Mika tidak menghadapi trauma tetapi dia berasakan kejadian itu seperti mimpi ngeri.”

“Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya berlaku. Satu saat Paloma duduk di atas belebas tingkap dan kemudian dia sudah jatuh ke atas kekisi besi.-myMetro



Bayi lahir 10.10.10. masa 10:10:10

SUTTON COLDFIELD, Britain - Seorang ibu melahirkan bayi perempuan pada pukul 10 pagi 10 minit dan 10 saat pada 10 Oktober 2010 di Hospital Good Hope di Sutton Coldfield, Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Ibu itu, Keelie Hearne melahirkan anak perempuannya itu seberat 1.68 kilogram yang diberi nama Niamh Bond.

Sebuah jam digital mencatatkan masa kelahiran bayi itu dengan tepat.

Hearne yang berusia 20 tahun berkata:"Apabila saya merenung ke arah jam dan melihat sepuluh saat, saya berasa terkejut besar."

Menurutnya, tarikh lahir anaknya dianggap terlalu istimewa kerana kelahiran itu merupakan yang pertama buat dirinya.

"Dia (anaknya) amat kecil dan mempunyai jari-jari yang halus. Dia amat cantik," katanya.

Bayi itu dilahirkan lapan minggu lebih awal daripada jangkaan asal.

Namun, air ketubannya pecah semasa dia bekerja sebagai pelayan pub menyebabkan dia dihantar ke hospital itu pada malam Sabtu lalu.

Pada pukul 9.40 pagi kelmarin, dia mula menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan anak.

Pasangan hidup Hearne, Dean Bond yang berumur 22 tahun yang masih belajar cara-cara menurap bata di sebuah kolej menganggap kelahiran anaknya itu merupakan hari yang paling bertuah dalam abad ini.

Bond berharap kelahiran anaknya itu akan memberi tuah untuk keluarganya. -kosmo online



Arkib Blog

 
© borak kosong All Rights Reserved